Pegangan Kukuh Rasulullah Dalam Berdakwah
Kita semua tahu bahawa utusan Allah SWT di akhir zaman iaitu Muhammad SAW Ibnu Abdullah dilahirkan di Mekah. Islam juga berasal dari Mekah. Nabi SAW berjuang dalam berdakwah kepada umat di Mekah sehinggalah berhijrah ke Yathrib (Madinah). Maka, pegangan Rasulullah dalam berdakwah patut kita contohi demi kelangsungan dakwah Islamiyah di bumi ini.
Diawal munculnya Islam, terlalu banyak tentangan dan ujian kepada umat Islam. Mereka sanggup menanggung pelbagai bentuk penyeksaan demi mempertahankan Islam.
Pada awalnya, Baginda telah mengarahkan sahabat-sahabat lain untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) sebelum ke Madinah, akan tetapi di sana bukan tempat yang soleh untuk menegakkan Daulah Islamiyah.
Wasilah yang sesuai perlu dicari. Oleh yang demikian, Baginda mengarahkan penghijrahan ke Madinah untuk menegakkan Daulah Islamiyah. Dimulai dengan menghantar enam orang sahabat daripada Mekah, Islam mula menetap di Madinah.
Alhamdulillah pada tahun berikutnya, seramai 13 orang penduduk Madinah datang menziarahi Rasulullah SAW termasuk dua orang wanita.
Demi menguatkan dakwah Islamiyah di Madinah, Abdullah ibn Maktoum diutus untuk mengajar al-Quran kepada penduduk Madinah. Mus’ab bin ‘Umair pula diarahkan untuk mengajar Fiqh di sana. Pengutusan ini telah mendapat sambutan di segelintir penduduk Madinah. Seramai 73 orang termasuk 9 orang wanita telah datang ke Madinah untuk bertemu Rasulullah SAW.
Sejak saat itu, Islam tersebar luas bukan sahaja di Madinah malah ke seluruh bumi.
Kunci Rasulullah dalam berdakwah
Rasulullah SAW meletakkan asas yang kukuh bagi perkembangan Islam di Madinah. Antara pegangan Rasulullah SAW dalam berdakwah adalah,
1. Persaudaraan Islam
Dalam pelbagai sastera Islam, terdapat banyak kisah persahabatan yang diwakili oleh Rasulullah dan para sahabat. Antaranya, ukhuwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) yang kuat dari keturunan Muhajirin dan Ansar.
Imam Bukhari telah meriwayatkan kisah persaudaraan ini melalui kisah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf (Muhajirin) dan Sa’ad bin Ar-Rabi’ (Ansar). Kedua-duanya dijadikan saudara oleh Rasulullah SAW sendiri.
Ketika hijrah ke Madinah, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf tidak membawa harta kekayaannya yang ada di Mekah. Bermakna, dia tiba di Madinah sebagai orang biasa, yang tidak memiliki kekayaan berlebih.
Kemudian, Rasulullah mempersaudarakannya dengan Sa’ad bin Ar-Rabi’ dan seketika itu juga Sa’ad menawarkan sebagian harta kekayaannya untuk dimiliki oleh ‘Abdur Rahman bin ‘Auf. Namun begitu, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf menolak tawaran Sa’ad secara halus dan memilih untuk berniaga kembali, memulai segalanya dari mula.
Apakah hikmah yang boleh kita pelajari daripada kisah ini? Tentunya keikhlasan Sa’ad bin Ar-Rabi’ dan kegigihan ‘Abdur Rahman bin ‘Auf berniaga. Mereka semua telah memilih jalan yang mulia untuk menghayati erti persahabatan dan mendorong diri mereka untuk lebih dekat dengan Allah.
Beginilah sikap seorang muslim sejati untuk mempertahankan agama yang dianutnya.
2. Mahabbah
Rasulullah SAW menunjukkan bahawa kasih sayang antara satu sama lain merupakan pegangan kedua dalam berdakwah menyebarkan Islam. Kesan daripada keutamaan kasih sayang yang disampaikan oleh Rasulullah SAW boleh dilihat melalui mukmin yang mengutamakan sahabatnya yang lain lebih daripada dirinya sendiri.
Ikatan kasih sayang ini disepadukan dalam masyarakat yang berteraskan kepercayaan kepada Allah SWT. Perkara ini telah diterjemahkan ketika berlakunya peristiwa peperangan pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, ditulis semula oleh Imam Al Ghazali. Suatu hari seorang sahabat Rasulullah yang tergolong sebagai miskin, baru sahaja mendapat hadiah berupa kepala kambing daripada jirannya.
Walaupun berasa sangat lapar pada saat itu, dia tidak memikirkan lauk apa yang dia ingin masak dengan kepala kambing tersebut. Malah apa yang terlintas di fikirannya adalah, “Siapa tetanggaku, saudaraku, sahabatku yang hari ini lapar dan lebih memerlukan kepala kambing ini daripada aku, akan aku berikan kepala kambing ini kepadanya.”
Lalu dia pun menemui sahabat yang dimaksudkan itu dan memberikan kepala kambing kepadanya.
Namun, sahabat kedua yang juga miskin berfikiran yang sama apabila menerima kepala kambing daripada sahabat pertama. “Siapa tetanggaku, saudaraku, sahabatku yang hari ini lapar dan lebih memerlukan kepala kambing ini daripada aku, akan aku berikan kepala kambing ini kepadanya.”
Maka kepala kambing itu diberikan kepada sahabat dikenalinya yang dianggap lebih memerlukan.
Sahabat ketiga berfikiran sama, jadi dia memberikannya kepada sahabat keempat, dan sahabat keempat melakukan perkara yang sama, kepada sahabat kelima, sehingga sahabat yang ketujuh. Akhirnya kepala kambing tersebut dimakan oleh sahabat ketujuh tetapi tidak bersendirian, dia mengajak sahabat kenalan yang sama-sama lapar dan memerlukan pada hari itu.
Kisah di atas merupakan manifestasi dari maksud Surah Al Fath Ayat: 29. Yang bermaksud: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.”
3. Keadilan dan keseimbangan
Keadilan dan keseimbangan merupakan pegangan ketiga dalam pembinaan Daulah Islamiyyah yang dibina oleh Rasulullah S.A.W di Madinah.
Sesungguhnya sejarah telah menggariskan betapa hebatnya usaha Rasulullah S.A.W pada zaman baginda dalam membersihkan saki baki jahiliyyah daripada masyarakat Islam yang beriman. Dan ianya terkesan sehingga ke zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin. Dengarlah apa yang dikatakan oleh ‘Uthman bin’ Affan iaitu;
“Muslim itu sebenarnya tidak ada tinggi dan tidak ada rendah , tiada hitam atau putih. Mereka seperti gigi sikat. Mereka itu semuanya sama belaka.”
Sekarang mari kita lihat realiti keseluruhan masyarakat Islam. Bolehkah kita mendapat pertolongan daripada Allah SWT? Jika dilihat kepada masyarakat yang didirikan oleh para nabi, kita akan dapati mereka mengamalkan ajaran Islam satu persatu.
Islam itu sama. Islam inilah yang wujud di zaman Rasulullah SAW. Al Quran yang ada di tangan kita itu juga adalah sama yang diterima oleh generasi sahabat dahulu. As Sunnah Rasulullah yang menjadi ikutan dan pegangan generasi sahabat dahulu itu masih kedapatan dan terus kita warisi dalam bentuk dokumentasi yang cantik serta tersusun.
Perhatikan bahawa untuk mengembalikan kewujudan dan fungsinya dalam masyarakat Islam hari ini, usaha perlu dilakukan dengan melaksanakan ketiga-tiga prinsip di atas. Jika pegangan ini dapat kita kotakan, insyaAllah pertolongan Allah SWT akan kita perolehi, sepertimana yang generasi Islam terdahulu telah mengecapi kemanisan Iman dan Islam dalam hidup mereka.